SELAMAT DATANG KE BLOG SURAU DARUL HIKMAH

Monday, January 23, 2012

Program Bantuan Bag Sekolah dan Perkhemah Remaja anjuran JKKPBSS

Posted by alahai at 12:50 AM 0 comments
Salam,
JKPBSS akan menganjurkan Majlis Bantuan Bag Sekolah & Peralatan Alat Tulis diketetapan seperti di dalam Banner di bawah. Bantuan akan disampaikan Exco Kerajaan Negeri Selangor iaitu YB Rodziah Ismail bertempat di Dewan Besar Masjid As-Saadah, BSS.

Kemudian pada 10 dan 11 Mac 2012 JKKPBSS akan menganjurkan perkhemahan remaja di Taman Rekreasi Gunung Nuang. Program ini bertujuan memberi peluang remaja BSS beriadah di samping ditekankan atau di sampaikan motivasi dan ilmu agama. Kepada yang berminat sila berhubung dengan penghulu Tuan Ima

Friday, July 22, 2011

Sambutlah Ramadhan

Posted by alahai at 7:50 AM 1 comments

Kuthbah Jumaat Hari ini menyentuh bulan Ramadhan yang bakal tiba . Antara kandungannya,

Kita sentiasa berdoa dan merasa amat bertuah, kerana diberi kesempatan untuk menemui lagi ramadhan pada kali ini serta terus mengharap agar dapat bersamanya sehingga ke akhirnya dan bertemu lagi dengan ramadhan di tahun-tahun yang mendatang. Kita mahu menjadi golongan mukmin yang disebutkan oleh Rasulullah S.A.W dalam hadisnya yang bermaksud:

"Kalaulah umatku tahu tentang kebaikan bulan ramadhan mereka pasti mengharapkan biarlah ramadhan itu sepanjang tahun".

(Riwayat At-Tabrani)

Namun apakah umat Islam hanya bersedia melakukan ibadah puasa sekadar menahan diri daripada makan dan minum mengikut waktu yang ditetapkan sahaja, tetapi pada masa yang sama segala perbuatan-perbuatan yang keji masih diteruskan sekalipun ketika berpuasa?. Itu bukan amalan puasa yang dituntut Islam. Marilah kita sama-sama memahami maksud hadis nabi S.A.W:

"Bukanlah puasa namanya, hanya sekadar tidak makan dan tidak minum, tetapi puasa yang sebenar ialah menahan diri daripada perkara yang sia-sia dan bercakap kotor (keji), sekiranya ada orang yang memaki hamun kamu atau memperbodohkan kamu, maka katakanlah padanya sesungguhnya aku ini berpuasa".

(Riwayat Ibnu Huzaimah, Ibnu Hibban dan Al-Hakim)

Kita hendaklah menjadikan ramadhan sebagai sebuah madrasah atau pusat tarbiyyah. Sesungguhnya madrasah ramadhan mempunyai sukatan pendidikan yang lengkap tentang tarbiyyah Islam. Ianya merangkumi pelbagai kegiatan utama, antaranya tilawah, tazkiyyah, ta'lim dan ta'dib. Menjadi satu kewajipan bagi setiap umat Islam supaya mengambil peluang sepenuhnya dengan melakukan sebanyak-banyak amal soleh melalui kegiatan utama di sepanjang bulan mulia ini. Inilah kesempatan yang tidak patut dilepaskan begitu sahaja oleh setiap Muslim, kerana ramadhan tahun hadapan belum pasti kita temui.

Seperti biasa, kita akan amalkan tilawah dan tadarus Al-Quran sama ada di waktu malam mahupun siang. Kita akan baca Al-Quran secara tartil, berterusan serta berusaha memahami, menghayati dan mengamalkan segala ajarannya. Aktiviti tazkiyyah pula menuntut kita melakukan pemurnian, muhasabah, memperbaiki amal dan sentiasa berhati-hati dalam semua tindakan demi menjaga diri daripada perkara-perkara yang boleh merosakkan kejernihan hati Muslim yang sedang berpuasa. Manakala ta'lim pula perlu dihayati dengan pelbagai kegiatan keilmuan seperti ceramah, tazkirah, daurah, perbincangan dan yang seumpamanya. Manakala ta'dib pula ialah proses mendidik jiwa insan muslim sehingga berupaya melakukan perubahan ke arah melahirkan umat yang memiliki pelbagai amalan mahmudah iaitu yang terpuji sehingga mampu memimpin dan menyelamatkan umat dan dunia, InsyaAllah.

Inilah kualiti insan Muslim yang perlu dilahirkan bagi melawan segala serangan musuh yang datang daripada pelbagai sudut. Maka lulusan madrasah ramadhan yang mengikuti segala kurikulum tarbiyyahnya insayAllah akan dapat menterjemahkan amal Islami yang menggambarkan betapa mereka adalah generasi rabbani yang kuat dan perkasa. Ramadhan bakal mendidik mereka erti mujahadah yang berupaya memberikan kehebatan dan istiqamah dalam melawan nafsu. Mana-mana Muslim Mukmin yang mampu mengalahkan nafsunya, nescaya akan mampu mengalahkan segala godaan nafsu yang lain. Begitulah sebaliknya jika kita tewas melawan nafsu maka tentulah kita tidak akan berdaya pula menghadapi pelbagai godaan lain.

Sebab itu dikatakan mujahadah lebih besar kesannya daripada jihad. Walupun jihad juga memerlukan watak pejuang yang berani tetapi mujahadah menuntut keberanian berpanjangan kerana ia sentiasa menghadapi pertarungan dalaman yang berterusan. Sebab yang dikatakan nafsu itu sekali ia tumbang, ia akan bangkit semula, bahkan ia akan sentiasa mengulangi godaannya. Manakala musuh di medan jihad apabila ia tewas dan terbunuh, ia tidak akan bangkit semula. Di sinilah sifat mujahadah diperlukan. Kerana di sepanjang bulan ramadhan kita berhadapan dengan pelbagai jenis urusan yang tergolong dalam isu pertarungan dengan nafsu dan segala kebiasaan yang boleh dilakukan pada bulan lain tetapi tidak boleh dilakukan ketika berpuasa.

Setiap Muslim hendaklah bersedia dari segi mental, fizikal dan spiritual untuk menjadikan ramadhan sebagai medan yang mampu mendidik jiwa ke arah memperkukuh jati diri sebagai Muslim sejati. Muslim Mukmin, sama ada lelaki mahupun wanita, muda ataupun tua, yang cergas atau lemah selagi tertakluk kepada tuntutan syarak, serta melalui proses tarbiyyah ramadhan dengan ikhlas, bakal menjadikannya insan berkualiti kental yang mampu memahami, merasai serta merealisasi nilai-nilai kemanusiaan yang merentas wilayah dan kelompok kemanusiaan.

Dengan kedatangan bulan Ramadhan yang mulia ini kita hendaklah mendekatkan diri kepada Allah S.W.T dengan banyak memohon taufik, hidayah, berdoa dan bertaubat agar Allah S.W.T sentiasa memberi petunjuk, bimbingan dan pemeliharaan demi untuk kesempurnaan hidup di dunia dan di akhirat. Sebab itu mereka yang berjaya melalui tarbiyyah di madrasah ramadhan serta memiliki jiwa mujahadah yang mantap akan menjadi seorang Muslim yang soleh, bersih dan berkualiti. Rebutlah ganjaran Allah S.W.T sebagaimana maksud hadis qudsi;

"Allah S.W.T berfirman pada setiap malam Ramadhan bila mana orang yang memohon, Aku akan berikan permohonannya, bila mana orang yang bertaubat, Aku akan terima taubatnya, bila mana orang yang memohon keampunan, Aku akan ampunkannya, dan Allah akan membebaskan pada setiap malam ramadhan beribu-ribu penghuni dari api neraka yang telah ditentukan mendapat azab".

(Riwayat Al-Muwatta')

Pada kesempatan ramadhan yang bakal tiba, marilah kita bersungguh-sungguh melakukan pelbagai amal dan usaha kebajikan secara serius sehingga mampu mempertingkat tahap mujahadah. Jadikanlah mujahadah sebagai sebahagian daripada cara hidup kaum Muslimin. Hanya dengan itu kita akan dapat menjadi Muslim, Mukmin yang Muttaqi. Janganlah kita membazir serta mensia-siakan waktu serta kesempatan supaya kita tidak akan menyesal di kemudian hari.

Oleh itu segala pancaindera insan yang berpuasa hendaklah dijaga, dididik dan dikawal supaya malakukan perkara yang diharuskan oleh syarak. Demi untuk mencapai keberkesanan yang terbaik daripada amalan puasa maka umat Islam hendaklah melakukan segala perkara mahmudah dan menjauhi segala perkara mazmumah, zahir mahupun batin. InsyaAllah dengan berbuat demikian kita akan dapat menghasilkan kesan puasa yang terbaik. Malahan ianya akan menjadi bekalan di sepanjang kehidupan ke arah mendapat redha Allah S.W.T.

Diharap tidak ada di kalangan umat Islam yang melanggar perintah Allah SW.T supaya berpuasa. Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor telah menyebutkan bahawa:

"Mana-mana orang yang pada waktu berpuasa dalam bulan Ramadhan menjual kepada mana-mana orang Islam apa-apa makanan, minuman, rokok atau benda lain yang seumpamanya untuk dimakan, diminum atau dihisap serta-merta dalam waktu itu atau secara terbuka atau di tempat awam didapati makan, minum atau menghisap rokok atau benda lain yang seumpamanya adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya. Bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya".

"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk itu dan membezakan antara yang benar dengan yang salah; oleh itu, sesiapa daripada kamu yang menyaksikan anak bulan ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa; sesiapa yang sakit atau dalam musafir (lalu dia berbuka maka wajib baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain (diluar bulan ramadhan); Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan (dengan ketetapan yang demikian) dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran; dan juga supaya kamu mencukupkan bilangan puasa (sebulan ramadhan), serta kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur".

(Al-Baqarah: 185)

Thursday, July 21, 2011

HAYATI 5 IKRAR MULIA DI DALAM DOA IFTITAH (DOA PEMBUKA) DI DALAM SOLAT

Posted by ukhti salimah at 9:58 PM 0 comments

(a) Bacaan sholat jika dipahami dengan baik, tentu akan lebih memberikan impak positif bagi pelakunya. Setelah takbirotul ikhrom, kita menyatakan 5 ikrar mulia dalam doa iftitah (doa pembuka) sebagai berikut:

1. Memuji Allah yang Maha Besar dan Maha Suci
Allahu akbar kabiro walhamdulillahi katsiro wasubhanallahi bukrota wa ashila
"Allah Maha Besar, lagi sempurna kebesaran-Nya. Segala puji bagi Allah sebanyak-banyaknya. Maha Suci Allah sepanjang pagi dan petang.

2. Menghadap Allah dengan lurus dan berserah diri
Wajjahtu wajhiya lilladzi fathorosamawati wal ardh hanifa muslima
"Kuhadapkan wajahku kepada dzat yang menciptakan langit dan bumi; dengan lurus dan berserah diri."

3. Penegasan bukan orang musyrik
Wama ana minal musyrikin
"Dan aku bukanlah dari golongan orang-orang musyrik."

4. Memahami hakikat seorang hamba
Inna sholati wanusuki wamahyaya wamamti lillahi robbil alamin
"Sesungguhnya sholatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah Tuhan semesta alam."

5. Penegasan untuk tidak musyrik, dari seorang muslim
Laa syarikalahu wabidzalika umirtu wa ana minal muslimin
"Tidak ada sekutu bagi-Nya, karena itu aku diperintahkan (untuk tidak menyekutukan-Nya). Dan aku adalah dari golongan orang-orang muslim".

Manifestasi dalam kehidupan terhadap 5 ikrar mulia tersebut adalah:
1. Dzikrulloh, selalu ingat kepada Allah yang Maha Besar, Maha Terpuji dan Maha Suci
2. Yakin akan keberadaan dan kedekatan Allah, pasrah terhadap ketetapan-Nya
3. Tidak menyekutukan Allah: tidak ada yang lebih ditakuti/dipentingkan selain Allah
4. Ikhlas, semua semata-mata karena Allah
5. La ilaha illallah, tidak menjadikan selain Allah sebagai tuhan

Inilah 5 ikrar mulia yang setiap saat kita kemukakan kepada Allah. Ya Allah, berilah kami pemahaman, dan berikan kami kekuatan untuk memanifestasikan ikrar kami ini. Berilah kami kebaikan di dunia, berilah kami kebaikan di akhirat, dan selamatkanlah kami dari azab neraka. Amin.

Sungguh, sholat akan terasa indah jika kita mengerti maknanya. Subhanallah....

DIKONGSI DARI SEORANG SAHABAT ‘MUSLIM CONVERT’ / MUALLAF DALAM FB. MUDAH-MUDAHAN DAPAT DIKONGSI BERSAMA.

Monday, July 18, 2011

KARNIVAL MESRA RAKYAT 25 - 26 JUN 2011

Posted by ukhti salimah at 10:23 PM 0 comments

Sunday, July 17, 2011

KARNIVAL MESRA RAKYAT 25 - 26 JUN 2011

Posted by ukhti salimah at 10:16 PM 0 comments

Saturday, July 16, 2011

TENTANG NISFU SYAABAN; ANTARA AMALAN SUNNAH DAN BID'AH

Posted by ukhti salimah at 8:11 PM 0 comments
TENTANG NISFU SYAABAN; ANTARA SUNNAH DAN BID'AH
by Dassiah Sidek on Sunday, July 17, 2011 at 10:36am

Assalaamu’alaikum w.b.t….. Sebagaimana telah kita ketahui apabila tibanya malam 15 Sya’aban, ramai yang akan ke masjid untuk solat jemaah dan membaca yasin sebanyak 3 kali. Tetapi tahukah kita dari mana amalan itu berasal? Sedangkan kita tahu, bahawa sesuatu ibadah khusus yang dilakukan jika tiada amalan atau dalil dari nabi Muhammad S.a.w maka dikira bid’ah. Persoalannya mengapa perlu dilakukan sebanyak 3 kali dan dikhususkan pada malam tersebut? Sedangkan bacaan Yasin boleh dilakukan pada bila-bila masa dan tidak terhad kepada berapa kali.

Seperti yang selalu saya lihat, bacaan Yasin yang dibuat sebanyak 3 kali itu dilakukan dengan pantas dan terkejar-kejar. Mungkin ianya sesuai dengan orang yang sudah mahir membaca Qasar, tetapi bagaimana dengan mereka yang tidak mahir dengan bacaan Qasar lebih-lebih lagi bagi yang tidak mahir membaca AlQuran bertajwid. Tidakkah itu sudah menjadi tunggang-langgang dan tidak berlaku dalam keadaan yang tenang. Apakah bagus membaca AlQuran dalam keadaan tergesa-gesa dan salah tajwidnya? Apakah hikmah di sebalik tergesa-gesa dan tidak faham apa yang dibaca itu?

Sebenarnya tiada hadith yang sahih yang memberitahu tentang bacaan yasin 3 kali pada malam nisfu Syaaban ini dan jika ada pun, ianya adalah hadith berkenaan kelebihan malam nisfu Syaaban yang dhaif dan juga terdapat dalam hadith maudhu’ (palsu). Walau bagaimanapun ada sebahagian ulama berpendapat hadis dhaif boleh dipegang dalam amalan sunat secara perseorangan. Tetapi tidak sekali-kali dengan hadith maudhu’. Ingat, hadith maudhu’ maknanya hadith PALSU, dan hadith PALSU hanyalah hadith yang direka-reka oleh golongan tertentu. Dengan kerana itu, adalah penting agar kita berhati-hati dalam memahami martabat sesuatu hadith itu.

Namun , dalam soal bacaan Yasin sebanyak 3 kali dalam nisfu Syaaban tetap tidak ada hadith yang sahih berkenaannya dan amalan tersebut tiada ditunjukkan contoh langsung oleh nabi dan sahabat. Maka mengapa kita sekarang ini mengadakan majlis tersebut di masjid-masjid apabila tibanya malam nisfu Syaaban sahaja? Mengapa perlu menetapkan malam itu untuk membaca Yasin 3 kali dan berduyun-duyun menuju ke masjid sedangkan malam lain tidak? Itu yang perlu diperhati bersama.

Dan saya tidak berani mengatakan amalan tersebut haram. tetapi kita perlu ingat, amalan ibadah khusus yang bukannya berasal dari nabi sudah dikira bid’ah dan dibimbangi amalan itu akan menjadi penat dan lelah semata-mata kerana tidak berasas atau menambah dosa sahaja. Tetapi menurut fatwa dari Syeikh Abdul Aziz bin Baaz, amalan itu dikira bid’ah dan penjelasannya ada saya sertakan di bawah nanti.

Maka sebaiknya adalah kita lakukan sahaja amalan membaca Yasin atau apa-apa sahaja bacaan AlQuran , tanpa perlu dikhususkan 3 kali dan seumpamanya. Dan yang penting, bacaan itu biarlah TERTIB, TENANG dan memberi keinsafan kepada kita dan bukannya semata-mata mahu mengejar pahala sehingga membaca AlQuran dengan tergopoh dan salah tajwid dan mengatakan sepatutnya melakukan bacaan Yasin 3 kali itu.

Pengertian nisfu Syaaban

Nisfu dalam bahasa arab bererti setengah. Nisfu Syaaban bererti setengah bulan Syaaban. Malam Nisfu Syaaban adalah malam lima-belas Syaaban iaitu siangnya empat-belas haribulan Syaaban.

Malam Nisfu Syaaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul qadr. Saiyidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi saw tidak tidur pada malam itu sebagaimana yg tersebut dalam sebuah hadis yg diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi r.a:

Rasulullah saw telah bangun pada malam (Nisfu Syaaban) dan bersembahyang dan sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir beliau telah wafat. Apabila aku melihat demikian aku mencuit ibu jari kaki Baginda saw dan bergerak. Kemudian aku kembali dan aku dengar Baginda saw berkata dlm sujudnya, “Ya Allah aku pohonkan kemaafanMu daripada apa yg akan diturunkan dan aku pohonkan keredhaanMu daripada kemurkaanMu dan aku berlindung kpdMu daripadaMu. Aku tidak dpt menghitung pujian terhadapMu seperti kamu memuji diriMu sendiri.”

Setelah Baginda saw selesai sembahyang, Baginda berkata kpd Saiyidatina Aisyah r.a. “Malam ini adalan malam Nisfu syaaban. Sesungguhnya Allah Azzawajjala telah dtg kpd hambanya pada malam Nisfu syaaban dan memberi keampunan kpd mereka yg beristighfar, memberi rahmat ke atas mereka yg memberi rahmat dan melambatkan rahmat dan keampunan terhadap orang2 yg dengki.”

Hari nisfu sya’aban adalah hari dimana buku catatan amalan kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Catatan pertama yang akan dicatatkan dibuku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuk waktu maghrib, (15 Sya’aban bermula pada 14 hb sya’aban sebaik sahaja masuk maghrib)

Fatwa tentang merayakan malam Nisfu Syaaban

Bacaan yasin

Umat Islam di Malaysia umumnya menyambut malam nisfu Syaaban ( 15hb Syaaban) dengan mengadakan majlis membaca surah Yasin sebanyak tiga kali selepas solat Maghrib. Di celah-celah bacaan Yasin ini diselitkan dengan bacaan doa seperti , selepas bacaan Yasin pertama dengan doa untuk diselamatkan dunia akhirat, selepas bacaan Yasin kedua doa supaya dipanjangkan umur dalam keberkatan dan selepas bacaan Yasin ketiga doa supaya dianugerahkan rezeki yang halal.

Diperhatikan bahawa amalan sambutan Nisfu Syaaban yang kaifiatnya sebegini tidak diamalkan di tempat lain di seluruh dunia. Tidak hairanlah tiada fatwa yang dikeluarkan oleh Ulama muktabar dunia masa kini tentang sahih batilnya amalan ini.

Kita beramal dan beribadat adalah untuk mendapat pahala dan kebaikan . Amalan ini hendaklah ada contohnya dari Rasulullah s.a.w. atau sahabat-sahabat atau ada petunjuk yang jelas dari al-Quran dan as-sunnah . Amalan mengkhususkan bacaan dan doa tertentu pada sesuatu masa tanpa nas yang sahih adalah amalan bidaah yang tertolak dan dikhuatiri berdosa; setidak-tidaknya ia akan membazirkan masa dan memenatkan badan.

Kita boleh membaca surah Yasin sebanyak mungkin pada bila-bila masa untuk mendapat pahala tetapi tidak dengan mengkhususkan kepada malam nisfu Syabaan dan dengan bilangan tiga kali. Kita digalakkan berdoa apa saja kepada Allah s.w.t untuk kebaikan dunia dan di akhirat tetapi tidak perlu dikhususkan di celah-celah bacaan Yasin di malam nisfu Syaaban. Dan kita boleh membaca surah Yasin dan berdoa bersendirian, di mana-mana dan bila-bila saja dan tidak perlu berkampung di masjid-masjid dengan harapan mendapat ganjaran istimewa dari Allah s.w.t.

Berikut adalah fatwa yang dikeluarkan oleh seorang ulama terkemuka di Timur Tengah untuk menjelaskan tentang amalan bidaah di malam nisfu Syaaban. Perhatikan bahawa beliau tidak menyebut amalan membaca Yasin dan doa-doa yang mengiringinya kerana amalan tersebut tidak diamalkan oleh penduduk di Timur Tengah atau di bahagian lain dunia Islam. Boleh dikatakan bahawa amalan baca Yasin dan doa ini adalah sebahagian dari sekian banyak amalan bidaah ciptaan rakyat tempatan khusus untuk amalan penduduk nusantara ini!

‘Solat Sunat’ Nisfu Syaaban

Firman Allah (mafhumnya): “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” [al-Maa’idah 5:3]. “Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan mana-mana bahagian dari agama mereka sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah?” [al-Syur.a 42:21]

Dalam kitab al-Sahihain diriwayatkan daripada `Aisyah (r.a) bahawa Rasulullah (s.a.w) pernah bersabda: “barangsiapa mengada-adakan perkara baru dalam urusan (agama) kita ini yang mana bukan sebahagian daripadanya, akan tertolak.”

Dalam Sahih Muslim diriwayatkan daripada Jabir r.a, Nabi (s.a.w) bersabda dalam khutbah Baginda: “Tetaplah kamu dengan Sunnahku dan Sunnah para Khulafa’ Rasyidun, serta berpegang teguhlah padanya… Berwaspadalah terhadap perkara yang baru diada-adakan, kerana setiap perkara baru adalah bid’ah dan setiap perkara bid’ah itu adalah sesat.” Terdapat banyak lagi ayat Qur’an dan hadis yang seumpamanya.

Ini jelas sekali menunjukkan bahawa Allah telah sempurnakan agama umat ini, dan mencukupkan nikmatNya ke atas mereka. Tuhan tidak mengambil nyawa RasulNya sehinggalah Baginda selesai menyampaikan perutusan dengan seterang-terangnya dan menghuraikan kepada ummah segala apa yang telah diperintahkan Allah samada amalan perbuatan mahupun percakapan. Baginda s.a.w telah menerangkan bahawa untuk ibadah yang direka selepas kewafatan Baginda, segala bacaan dan amalan yang kononnya dilakukan menurut Islam, kesemua ini akan dicampakkan kembali kepada orang yang mencipta amalan tersebut, meskipun ia berniat baik.

Para Sahabat Nabi s.a.w tahu tentang hakikat ini, begitu juga para salaf selepas mereka. Mereka mengecam bid’ah dan menegahnya, sebagaimana telah dicatatkan dalam kitab-kitab yang menyanjung Sunnah dan mengecam bid’ah, ditulis oleh bin Waddah, al-Tartushi, bin Shamah dan lain-lain.

Antara amalan bid’ah yang direka manusia ialah menyambut hari pertengahan dalam bulan Syaaban (Nisfu Syaaban), dan menganjurkan puasa pada hari tersebut. Tidak ada nas (dalil) yang boleh dipercayai tentang puasa ini. Ada beberapa hadis dhaif telah dirujuk tentang fadhilat puasa ini, tetapi ianya tidak boleh dijadikan pegangan. Hadis-hadis diriwayatkan mengenai fadhilat doa sempena nisfu Syaaban kesemuanya adalah maudhu’ (rekaan semata-mata), sebagaimana telah diperjelaskan oleh sebahagian besar alim ulama. Kita akan lihat beberapa petikan dari ulasan para alim ulama ini.

Beberapa riwayat tentang hal ini telah dinukilkan daripada sebahagian ulama salaf di Syria dan lain-lain. Menurut jumhur ulama, menyambut nisfu Syaaban adalah bid’ah, dan hadis-hadis tentang fadhilat-fadhilat berkenaan hari tersebut adalah dhaif (lemah), sebahagian besar yang lain pula adalah maudhu’ (rekaan). Antara ulama yang memperjelaskan hal ini adalah al-Haafiz bin Rejab, di dalam kitabnya Lataa’if al-Ma’aarif, dan lain-lain. Hadis-hadis dha`if berkenaan ibadah hanya boleh diterimapakai untuk amalan ibadat yang terdapat menerusi nas-nas yang Sahih. Tidak ada asas yang Sahih bagi sambutan nisfu Syaaban, oleh itu hadis-hadis dha`if tersebut tidak dapat digunapakai.

Prinsip asas yang penting ini telah disebutkan oleh Imam Abu’l-‘Abbas Sheikh al-Islam bin Taymiyah (rahimahullah). Para alim ulama (rahimahumullah) telah sepakat bahawa apabila wujud perselisihan di kalangan umat, maka wajiblah merujuk kepada Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Apa-apa keputusan yang diperolehi daripada salah satu atau kedua-duanya adalah syariat yang wajib ditaati, sebaliknya apa-apa yang didapati bercanggah dengan kedua-duanya mestilah ditolak. Oleh itu sebarang amalan ibadat yang tidak dinyatakan di dalam kedua-dua (Qur’an dan Sunnah) adalah bid’ah dan tidak dibenarkan melakukannya, apatah lagi mengajak orang lain melakukannya atau mengiktirafkannya.

Sebagaimana Firman Allah (mafhumnya): “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.” [al-Nisa’ 4:59]

“Dan (katakanlah wahai Muhammad kepada pengikut-pengikutmu): Apa jua perkara agama yang kamu berselisihan padanya maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah; Hakim yang demikian kekuasaanNya ialah Allah Tuhanku; kepadaNyalah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku rujuk kembali (dalam segala keadaan).”[al-Shura 42:10]. “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [Aal ‘Imr.an 3:31]

“Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” [al-Nisa’ 4:65]

Banyak lagi ayat-ayat lain yang serupa maksudnya seperti di atas, yang menyatakan dengan jelas bahawa sebarang perselisihan wajib dirujuk kepada Qur’an dan Sunnah, seterusnya wajib mentaati keputusan yang diperolehi daripada kedua-dua Nas ini. Ini merupakan syarat iman, dan inilah yang terbaik untuk manusia di dunia dan di akhirat: “Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya” [al-Nisa’ 4:59 – mafhumnya] maksudnya ialah Hari Akhirat.

Al-Hafiz bin Rejab (R.A) menyebut di dalam kitabnya Lataa’if al-Ma’aarif tentang isu ini – setelah membincangkannya secara panjang lebar – “Malam Nisfu Syaaban asalnya diutamakan oleh golongan Tabi’in di kalangan penduduk Sham, antaranya Khalid bin Mi’dan, Makhul, Luqman bin ‘Amir dan lain-lain, di mana mereka beribadah bersungguh-sungguh pada malam tersebut. Orang awam menganggap bahawa malam tersebut adalah mulia kerana perbuatan mereka ini. Disebutkan bahawa mereka telah mendengar riwayat-riwayat Israiliyyat berkenaan kelebihan malam tersebut, sedangkan jumhur ulama di Hijaz menolak kesahihan riwayat ini, antara mereka adalah ‘Ata’ dan Ibnu Abi Malikah. ‘Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam meriwayatkan fatwa ini daripada fuqaha’ (Ulama Ahli Fiqh) di Madinah, dan inilah pandangan ulama-ulama Maliki dan lain-lain. Kata mereka: semua ini adalah bid’ah…

Imam Ahmad tidak pernah diketahui menyebut apa-apa pun tentang (adanya sambutan) Malam Nisfu Syaaban… Tentang amalan berdoa sepanjang Malam Nisfu Syaaban, tidak ada riwayat yang sahih daripada Nabi (s.a.w) ataupun daripada Para Sahabat Baginda …”

Inilah apa yang telah disebutkan oleh al-Hafiz bin Rejab (R.A). Beliau menyatakan dengan jelas bahawa tidak ada langsung riwayat sahih daripada Rasulullah s.a.w mahupun daripada Sahabat-sahabat Baginda (R.A) mengenai Malam Nisfu Shaaban (pertengahan bulan Syaaban).

Dalam keadaan di mana tidak ada bukti shar’i bahawa apa-apa perkara itu disuruh oleh Islam, tidak dibenarkan bagi Umat Islam untuk mereka-reka perkara baru dalam agama Allah, tidak kiralah ianya amalan perseorangan ataupun berkumpulan, samada dilakukan secara terbuka mahupun tertutup, berdasarkan maksud umum hadith Rasulullah s.a.w: “Barangsiapa melakukan apa sahaja amalan yang bukan sebahagian daripada urusan kita ini [Islam], amalan itu akan tertolak.” Banyak lagi dalil yang menegaskan bahawa bid’ah mesti ditegah dan memerintahkan agar menjauhinya.

Imam Abu Bakr al-Tartushi (R.A) menyebut dalam kitabnya al-Hawadith wa’l-Bida’: “Ibn Waddah meriwayatkan bahawa Zayd bin Aslam berkata: Kami tidak pernah menemui seorang pun dari kalangan ulama dan and fuqaha’ kami yang memberi perhatian lebih kepada Malam Nisfu Shaaban, tidak ada juga yang memberi perhatian kepada hadith Makhul, atau yang beranggapan bahawa malam tersebut adalah lebih istimewa daripada malam-malam lain. Pernah ada orang mengadu kepada Ibnu Abi Maleekah bahawa Ziyad an-Numairi mengatakan bahawa pahala di Malam Nisfu Shaaban adalah menyamai pahala Lailatul-Qadar. Beliau menjawab, “Sekiranya aku dengar sendiri dia berkata begitu dan ada kayu di tanganku, pasti aku akan memukulnya (dengan kayu itu). Ziyad seorang pereka cerita.”

Al-Shaukani (R.A) berkata dalam al-Fawa’id al-Majmu’ah: “Hadith yang berbunyi: ‘Wahai ‘Ali, barangsiapa bersolat seratus rakaat di Malam Nisfu Shaaban, dengan membaca pada setiap rakaat Ummul Kitab [Surah al-Fatihah] dan Qul Huwallahu Ahad sepuluh kali, Allah akan memenuhi segala keperluannya…’ Hadis ini maudhu’ (rekaan semata-mata). Susunan katanya menyebut dengan jelas ganjaran yang akan diterima oleh orang yang melakukannya, dan tidak ada orang yang waras yang boleh meragui bahawa ‘hadis’ ini adalah rekaan. Lebih-lebih lagi, perawi dalam isnad hadis ini adalah majhul (tidak dikenali). ‘Hadis’ ini juga diriwayatkan melalui sanad yang lain, yang mana kesemua adalah direka dan kesemua perawinya adalah are majhul (tidak diketahui asal-usulnya).

Di dalam kitab al-Mukhtasar, beliau menukilkan: Hadith yang menyebut tentang solat di tengah bulan Syaaban adalah hadis palsu, dan hadis Ali yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban – “ Apabila tiba malam pertengahan Syaaban, penuhilah malamnya dengan solat dan berpuasalah di siang harinya” – adalah dhaif (lemah).

Di dalam kitab al-La’aali’ beliau berkata, “Seratus rakaat di pertengahan Syaaban, membaca (Surah) al-Ikhlas sepuluh kali di setiap rakaat… (hadis ini) adalah maudhu’ (direka), dan kesemua perawi dalam tiga isnadnya adalah majhul (tidak dikenali) dan dhaif (lemah). Katanya lagi: dan dua belas rakaat, membaca al-Ikhlaas tiga puluh kali setiap rakaat, ini juga adalah maudhu’; dan empat belas (rakaat), juga adalah maudhu’.

Beberapa orang fuqaha’ telah tertipu oleh hadis palsu ini, antaranya pengarang al-Ihya’ dan lain-lain, dan juga sebahagian ulama mufassirin. Solat khusus di malam ini – di pertengahan bulan Syaaban – telah diterangkan dalam pelbagai bentuk, kesemuanya adalah palsu dan direka-reka.”

Al-Hafiz al-‘Iraqi berkata: “Hadith tentang solat di malam pertengahan Syaaban adalah maudhu’, dan disandarkan secara palsu terhadap Rasulullah s.a.w.”

Imam al-Nawawi berkata di dalam bukunya al-Majmu’: “Sembahyang yang dikenali sebagai solat al-raghaa’ib, didirikan sebanyak dua belas rakaat antara Maghrib dan ‘Isyak pada malam Jumaat pertama di bulan Rejab, dan sembahyang sunat Malam Nisfu Shaaban, sebanyak seratus rakaat – kedua-dua sembahyang ini adalah bid’ah yang tercela. Sepatutnya orang ramai tidak tertipu disebabkan ianya disebut dalam Qut al-Qulub dan Ihya’ ‘Ulum al-Din, atau oleh hadis-hadis yang disebutkan dalam kedua-dua kitab ini. Kesemuanya adalah palsu. Orang ramai juga tidak sepatutnya tertipu disebabkan kerana beberapa imam telah keliru dalam hal ini dan menulis beberapa helaian yang menyebut bahawa sembahyang ini adalah mustahabb (sunat), kerana dalam hal ini mereka tersilap.”

Sheikh al-Imam Abu Muhammad ‘Abd al-Rahman bin Isma’il al-Maqdisi telah menulis sebuah kitab yang amat berharga, yang membuktikan bahawa riwayat-riwayat tersebut adalah palsu, dan jasa beliau sangatlah besar. Alim `ulama telah membincangkan hal ini dengan panjang lebar, dan sekiranya kami ingin memetik keseluruhan perbincangan tersebut untuk dicatatkan di sini, tentu akan mengambil masa yang sangat panjang. Mudah-mudahan apa yang telah disebutkan di atas sudah memadai bagi anda yang mencari kebenaran.

Daripada ayat-ayat Qur’an, hadis-hadis dan pendapat ulama yang dipetik di atas, sudah jelas bagi kita bahawa menyambut pertengahan bulan Syaaban dengan cara bersembahyang di malamnya atau dengan mana-mana cara yang lain, atau dengan mengkhususkan puasa pada hari tersebut, adalah bid’ah yang ditolak oleh jumhur ulama. Amalan tersebut tiada asas dalam syariat Islam yang tulen; bahkan ianya hanyalah salah satu perkara yang diada-adakan dalam Islam selepas berakhirnya zaman Sahabat (radhiallahu `anhum).

Ulasan dan terjemahan fatwa : www.darulkautsar.com

[Dipetik daripada Majmu’ Fatawa Samahat al-Sheikh ‘Abdul-‘Aziz bin Baz,

Petikan ini diambil dari SURAU AL MIZAN KOMPLEKS KEDIAMAN DUTAMAS, untuk tatapan dan renungan bersama. Mudah-mudahan kita sentiasa melakukan apa yang Allah dan Rasul suruh dan meninggalkan apa yang dilarang. InsyaAllah.

Monday, June 20, 2011

10 perkara kehilangan kepada umat islam

Posted by alahai at 7:08 AM 0 comments

Tazkirah Magrib Ustaz Haddath kali ini dimulakan dengan luahan kehampaanya dengan situasi surau yang lengang dengan bilangan jemaah yang hadir mendirikan solat berjemaah pada sessi magrib. Teguran beliau kepada AJK Surau untuk memikirkan sesuatu cara untuk menarik kehadiran kariah memenuhi surau ketika solat magrib dan semasa majlis-majlis ilmu. Beliau juga menyarankan supaya AJK wajib hadir bersama pasangan masing-masing memenuhi surau .
Menurut beliau lagi surau yang telah diubahsuai dengan pagar yang cantik dan di lampu menerangi setiap sudut pagar surau sepatutnya mampu menarik kehadiran ramai kariah bersolat jemaah.

Beliau bertanya kepada hadirin ,dimana silapnya surau sebegini indah tetapi kosong dan sepi dari kehadiran anak kariah. Di sini beliau meletakkan 4 faktor atau tarikan utama kenapa umat islam khususnya gagal hadir solat berjemaah di surau dan masjid, iaitu:

  1. Tarikan Manusia
  2. Tarikan dunia
  3. Tarikan Hawa Nafsu
  4. Kelalaian
Sambung beliau lagi ,kesan kegagalan umat memenuhi tuntutan diatas jangan sampai kehilangan 10 perkara kepada manusia,iaitu:

1)ILMU YANG HILANG AMALAN - ianya ibarat pohon yang tidak mengeluarkan buahnya

Firman Allah:
Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? (Itu) sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.
(As-Saff 61:2-3)

2) AMALAN YANG HILANG KEIKHLASAN - ada 3 peringkat ikhlas
(i) Ikhlas orang fasik di mana buat sesuatu tapi mengharapkan orang lain memandang supaya boleh membangga diri
(ii) Ikhlas tetapi masih lagi berharap orang mengatakan dia ikhlas
(iii)Ikhlas terus kepada Allah

3) HATI YANG HILANG WARAK - terjadi apabila manusia membesarkan dunia berbanding akhirat. Perlu jadikan qiyammullail itu amalan mingguan, sHi!

Firman Allah:
Kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih
(As-Syua'ra' 26:89)

4) AKAL YANG HILANG MEMIKIRKAN KEBESARAN ALLAH - akal perlulah dipandu dengan Al-Quran

Firman Allah:
Demikianlah Allah menerangkan kepadamu ayat-ayatNya agar kamu mengerti.
(Baqarah 2:242)

5) LIDAH YANG HILANG HIKMAH - terjadi bila orang mengekalkan maksiat, bercakap perkara yang kotor, akan hilang hikmahnya. kita perlulah banyakkan berzikrullah.

Firman Allah:
Maka sungguh, telah Kami mudahkan (Al-Quran) itu dengan bahasamu (Muhammad), agar dengan itu engkau dapat memberi khabar gembira kepada orang-orang yang bertakwa, dan agar engkau dapat memberi peringatan kepada kaum yang membangkang.
(Maryam 19:97)

6) REZEKI YANG HILANG BERKAT

Firman Allah:
Sungguh, inilah rezeki dari Kami yang tidak ada habis-habisnya
(Sad 38:54)

7) KESIHATAN YANG HILANG KETAATAN

Firman Allah:
(Allah berfirman), "Demi umurmu (Muhammad), sungguh, mereka terumbang-ambing dalam kemabukan (kesesatan)."
(Al-Hijr 15:72)

8) WAKTU YANG HILANG USIA MANFAAT

Firman Allah:
Dialah yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari (setitis) air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging; kemudian Dia mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian kamu (dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; kemudian kamu (dipanjangkan umur) hingga sampai menjadi tua dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan sebelum itu. (Allah melakukan kejadian yang demikian) supaya kamu sampai ke masa yang ditentukan (untuk menerima balasan) dan supaya kamu memahami (hikmat-hikmat kejadian itu dan kekuasaan Tuhan).
(Al-Mukmin/Al-Ghafir 40:67)

9) HIDUP YANG HILANG PANDUAN - matlamat hidup kita ialah mencari keredhaan Allah S.W.T

Firman Allah:
Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan. Dan kamu akan dikembalikannya hanya kepada Kami.
(Al-Anbiya' 21:35)

10) MATI YANG HILANG IMAN (nauzubillah min zaalik!)

Firman Allah:
Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepadaNya dan janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan muslim.
(Ali Imran 3:102)

Buliten Al-HIKMAH Copyright 2009 wind of changes Designed by my template Image by Tadpole's Notez